PENGUMUMAN
HARGAI BUKU , SAYANGI BUKU
BERITA SEMASA

Wednesday, January 5, 2011

BBT diarah periksa buku teks Bahasa Inggeris

Bahan bantuan mengajar dicemari kesalahan tatabahasa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengarahkan Bahagian Buku Teks (BBT) untuk meneliti dakwaan buku teks Bahasa Inggeris Tahun Satu pada sesi persekolahan ini dicemari banyak kesalahan tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat, sekali gus mengambil tindakan susulan segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran murid terbabit berjalan dengan lancar.

Setakat ini, beliau berkata, masih belum timbul isu murid diminta mengembalikan buku teks terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang sudah diedarkan, termasuk melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

“Saya difahamkan jika ada kesilapan (pada buku teks itu), boleh dibuat pembetulan. Antara kaedah pernah digunakan sebelum ini ialah menerusi cara tampalan.

“Bagaimanapun, perkara ini akan diteliti untuk menentukan kaedah lebih ekonomi dan praktikal tanpa menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, sekiranya berlaku kesilapan.

“Kementerian serah kepada Pengarah BBT menguruskan perkara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas dakwaan pembaca menerusi ruangan surat dalam akhbar New Straits Times semalam, buku teks Bahasa Inggeris Tahun Satu 2011 mengandungi banyak kesalahan tatabahasa, kosa kata dan struktur ayat, malah lebih berbanding buku teks sebelum ini.

Pembaca itu yang menggunakan nama ‘Sandra Rajoo’ dari Ipoh, Perak, turut memperincikan contoh kesalahan terbabit berserta muka suratnya, selain mempersoalkan bagaimana kesilapan berkenaan gagal dikesan oleh tiga penulis dan empat editor dikatakan terbabit dalam penghasilan buku teks berkenaan.

Oleh Syuhada Choo Abdullah
Sumber : Berita Harian Online.
2011/01/05

No comments: